Bangunan ini pada asalnya sebuah rumah agam yang
telah dibina pada tahun 1928 dengan harga RM150,000 dan dahulunya adalah rumah
kediaman seorang jutawan dari China, iaitu Encik Chan
Wing. Pada zaman pemerintahan Jepun dari tahun 1942-1945, bangunan ini
telah digunakan sebagai Mes Pegawai Tentera Jepun. Selepas Jepun menyerah
kalah, bangunan ini telah dibeli oleh Kerajaan Negeri Selangor dan selepas diubahsuai ia dijadikan
sebagai Istana Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir
Hishamuddin Alam Shah, Sultan
Selangor sehingga
tahun 1957.
Bangunan yang indah itu kemudiannya dibeli oleh kerajaan persekutuan dengan harga RM1.4 juta pada 1957 dan diubahsuai dengan harga RM328,000 untuk menjadikannya sebagai istana yang sesuai untuk kediaman Raja bagi sebuah negara merdeka yang baru.
Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul
Rahman Tuanku Muhammad merupakan
ketua negara Malaysia yang pertama mendiami Istana Negara
iaitu bangunan putih yang mempunyai dua kubah emas beberapa minggu sebelum
kemerdekaan diisytiharkan.
Istana tersebut kemudiannya direka semula oleh
arkitek Jabatan Kerja Raya, E.K. Dinsdale sementara pengubahsuaian dilakukan
oleh kontraktor tempatan yang mengambil masa empat bulan dan tidak mempengaruhi
struktur utama bangunan. Pengubahsuaian dilakukan dengan menambah bilangan
bilik daripada 13 buah kepada 20 buah, dengan dapur bagi 100 orang, balai
mengadap, 4 bilik tetamu, 2 balai kemasukan dan 1 dewan santapan.
Istana ini digunakan secara rasmi sehingga 15
November 2011 apabila seisi istana berpindah ke Kompleks Istana Negara Jalan Duta.
Singgahsana baru telah dibina di bawah
pengelolaan arkitek Jabatan Kerja Raya Kapten David Wee yang berasaskan alat
kebesaran diraja. Ia digunakan pertama kalinya ketika pertabalan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Sultan Abu Bakarsebagai
Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada tahun 1980. Selain istiadat pertabalan,
Balairong Seri juga digunakan bagi santapan rasmi, istiadat keputeraan,
istiadat pengurniaan bintang-bintang kebesaran dan keagamaan.
Istana Negara bercirikan binaan Islam dan
tradisional Melayu pada bangunan istana yang terletak di kawasan seluas 241.3
ekar (97.65 hektar). Beroperasi sepenuhnya pada tempoh pemerintahan Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Xlll, Tuanku Mizan Zainal Abidin Sultan
Mahmud pada 11 November 1011. Istiadat
menaikkan Bendera Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diadakan pada 15
November 2011 sebagai simbolik Istana Negara, Jalan duta secara rasminya
menjadi Istana Negara di Malaysia. Keunikannya
terletak pada bilangan kubah iaitu sebanyak 22 buah. Dua kubah besar mempunyai reka bentuk seolah sirih
bertindih. Pada waktu malam, cahaya daripada lampu hiasan yang menerangi kubah
akan memberi kesan ilusi. Cahaya boleh bertukar warna mengikut acara rasmi yang
diadakan, selain mampu dilihat secara jelas daripada luar kawasan Istana
Negara.
Di lobi utama, terdapat chandelier terbesar buatan tempatan
yang dihasilkan di Kuala Selangor. Di sekeliling kubah, terdapat lapan lukisan besar
memaparkan sejarah negara sejak zaman Kesultanan Melaka hingga kini. Setiap bilik dan dewan dibina khusus untuk fungsi
tertentu sahaja. Singahsana tempat
bersemayam Seri Paduka Baginda di Balairong Seri Istana Negara mempunyai ukiran
tradisional Melayu serta tulisan khat 99 nama Allah dan ayat suci al-Quran
dihasilkan oleh beberapa pengukir terkenal dari Terengganu dan Kelantan.
Pintu gerbang masuk utama yang menggunakan jalan
masuk bertingkat dari Jalan Duta adalah bagi Yang di-Pertuan Agong. Laluan kedua terletak di Jalan Cangkat Semantan adalah
pintu masuk bagi kegunaan tetamu diraja serta tetamu jemputan bagi menghadiri
sesuatu majlis di Istana Negara. Laluan
ketiga terletak di Jalan Sri Hartamas, Mont Kiara adalah pintu masuk bagi
kegunaan rakyat yang ingin berurusan.
http://alifamirulazmi.blogspot.com/2012/03/istana-baru-malaysia.html
No comments:
Post a Comment