Sunday, March 29, 2015

KOMPLEK ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR - MALAYSIA

Bangunan ini pada asalnya sebuah rumah agam yang telah dibina pada tahun 1928 dengan harga RM150,000 dan dahulunya adalah rumah kediaman seorang jutawan dari China, iaitu Encik Chan Wing. Pada zaman pemerintahan Jepun dari tahun 1942-1945, bangunan ini telah digunakan sebagai Mes Pegawai Tentera Jepun. Selepas Jepun menyerah kalah, bangunan ini telah dibeli oleh Kerajaan Negeri Selangor dan selepas diubahsuai ia dijadikan sebagai Istana Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor sehingga tahun 1957.

Bangunan yang indah itu kemudiannya dibeli oleh kerajaan persekutuan dengan harga RM1.4 juta pada 1957 dan diubahsuai dengan harga RM328,000 untuk menjadikannya sebagai istana yang sesuai untuk kediaman Raja bagi sebuah negara merdeka yang baru.
Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad merupakan ketua negara Malaysia yang pertama mendiami Istana Negara iaitu bangunan putih yang mempunyai dua kubah emas beberapa minggu sebelum kemerdekaan diisytiharkan.
Istana tersebut kemudiannya direka semula oleh arkitek Jabatan Kerja Raya, E.K. Dinsdale sementara pengubahsuaian dilakukan oleh kontraktor tempatan yang mengambil masa empat bulan dan tidak mempengaruhi struktur utama bangunan. Pengubahsuaian dilakukan dengan menambah bilangan bilik daripada 13 buah kepada 20 buah, dengan dapur bagi 100 orang, balai mengadap, 4 bilik tetamu, 2 balai kemasukan dan 1 dewan santapan.
Istana ini digunakan secara rasmi sehingga 15 November 2011 apabila seisi istana berpindah ke Kompleks Istana Negara Jalan Duta.


Singgahsana baru telah dibina di bawah pengelolaan arkitek Jabatan Kerja Raya Kapten David Wee yang berasaskan alat kebesaran diraja. Ia digunakan pertama kalinya ketika pertabalan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Sultan Abu Bakarsebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada tahun 1980. Selain istiadat pertabalan, Balairong Seri juga digunakan bagi santapan rasmi, istiadat keputeraan, istiadat pengurniaan bintang-bintang kebesaran dan keagamaan.


Istana Negara bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu pada bangunan istana yang terletak di kawasan seluas 241.3 ekar (97.65 hektar). Beroperasi sepenuhnya pada tempoh pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Xlll, Tuanku Mizan Zainal Abidin Sultan Mahmud pada 11 November 1011. Istiadat menaikkan Bendera Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diadakan pada 15 November 2011 sebagai simbolik Istana Negara, Jalan duta secara rasminya menjadi Istana Negara di Malaysia. Keunikannya terletak pada bilangan kubah iaitu sebanyak 22 buah. Dua kubah besar mempunyai reka bentuk seolah sirih bertindih. Pada waktu malam, cahaya daripada lampu hiasan yang menerangi kubah akan memberi kesan ilusi. Cahaya boleh bertukar warna mengikut acara rasmi yang diadakan, selain mampu dilihat secara jelas daripada luar kawasan Istana Negara.
Di lobi utama, terdapat chandelier terbesar buatan tempatan yang dihasilkan di Kuala Selangor. Di sekeliling kubah, terdapat lapan lukisan besar memaparkan sejarah negara sejak zaman Kesultanan Melaka hingga kini. Setiap bilik dan dewan dibina khusus untuk fungsi tertentu sahaja. Singahsana tempat bersemayam Seri Paduka Baginda di Balairong Seri Istana Negara mempunyai ukiran tradisional Melayu serta tulisan khat 99 nama Allah dan ayat suci al-Quran dihasilkan oleh beberapa pengukir terkenal dari Terengganu dan Kelantan. Pintu gerbang masuk utama yang menggunakan jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta adalah bagi Yang di-Pertuan Agong. Laluan kedua terletak di Jalan Cangkat Semantan adalah pintu masuk bagi kegunaan tetamu diraja serta tetamu jemputan bagi menghadiri sesuatu majlis di Istana Negara. Laluan ketiga terletak di Jalan Sri Hartamas, Mont Kiara adalah pintu masuk bagi kegunaan rakyat yang ingin berurusan.


http://alifamirulazmi.blogspot.com/2012/03/istana-baru-malaysia.html

No comments:

Post a Comment